Thursday, May 16, 2013

Fiqh at-Tarbiyah al-Harakiyyah: siri 1

Lama terfikir, bertangguh dan coba 'tunggu dahulu'. Tapi saya kira sudah tiba masa untuk serius menulis tentang cadangan tulisan-tulisan bertemakan "Islah al-Fikr at-Tarbawi al-Haraki" khas untuk anak-anak muda yg sedang berada dalam beberapa kumpulan Islam. Saya akan mulakan dengan beberapa post di page ini inshaAllah, memandangkan sebahagian besar rakan-rakan di page ini (malah di FB peribadi dan di twitter) berpengalaman dan sedang menyertai beberapa kumpulan yang asasnya saling mempunyai banyak persamaan.

Pengalaman mungkin tidak lama, tapi pengalaman 'serius' lebih setengah dekad sangat bermanfaat, lebih-lebih lagi mengenai sisi-sisi yang hilang (ab'ad gha-ibah) daripada praktikal segelintir kumpulan Islam, khasnya para pelapis mereka yang sedang menuntut ilmu di dalam dan luar negara. Sebahagian orang mungkin menganggap apa yang saya mahu sentuh tentang persoalan tersebut hanyalah teori dan bukannya 'amal', persoalan (yang kadang-kadang berbentuk sindiran) tersebut sentiasa berulang - zaman berzaman. Justeru sebagai permulaan, saya menyentuh dahulu tentang konsep teori (nazhoriyyah) dan praktikal (amal Islami) yang dipandang remeh oleh sebahagian mahasiswa dan orang muda yang terlibat dalam harakah Islamiyyah.




1) Sering tersebar kata-kata bahawa yang penting amal, bukan semata-mata teori. Saya tertanya-tanya apakah orang yang menuturkan itu faham bahawa rukun 'faham' yang berada pada tingkat pertama dalam arkanul baiah sendiri merupakan satu petunjuk betapa pentingnya teori? Malah maratibul 'amal sendiri merupakan sebuah teori yang dicipta, untuk dihadam oleh para pemimpin dan penggerak (terutamanya menurut konteks dahulu di mana kebanyakan gerakan Islam muncul pada era kolonial, era umat Islam berada pada tingkat yang sangat teruk gara-gara penjajahan) supaya lebih tersusun organisasi dan perjalanan perjuangan dakwah dan tarbiyah mereka.

2) Bukan semua teori boleh boleh dipraktis dan terlihat di depan mata kasar akan kesannya, tapi setiap praktis wajib mempunyai teori (walau seringkas mana teori tersebut). Begitu juga, teori turut mempunyai "saiz" maratibnya yang tersendiri ; ada teori menguruskan organisasi (contohnya VMO, SWOT, etc), teori pendidikan keluarga dan ahli, hinggalah kepada teori pembangunan masharakat, kenegaraan, hubungan antarabangsa, selain teori dalam bidang sains keras, teori dalam keagamaan dan lain-lain. Teori ialah salah satu bentuk ilmu dan maklumat, ia mendahului amal, dan akan membaiki/mencantikkan amal. Teori bukan sahaja berperanan pada kali pertama sesuatu praktikal, tapi teori sentiasa berperanan termasuk selepas sesuatu praktikal berjalan. Semasa praktikal berlangsung, apabila ada idea dan kritikan, ia akan membaiki teori sedia ada, lalu apabila perlu, maka praktikal akan dibaiki dan diubah. Justeru ringkasnya teori tugasnya mencantikkan praktikal.

3) Dalam dunia yang lebih rumit, kompleks dan mencabar, kita hendaklah sentiasa memuhasabah fikiran kita, supaya boleh dibaiki dan sentiasa jauh daripada kesalahan berfikir. Sebahagian orang menyatakan bahawa dahulu para sahabat Nabi saw disibukkan dengan amal hingga mereka bisa membina hadharah, "mereka beramal dan bukan semata-mata berteori". Kenyataan sebegini kadang-kadang kerap dikeluarkan oleh orang yang mempunyai kedudukan dalam segelintir harakah - terutama anak-anak muda yang bersemangat melakukan amal Islami. Kenyataan tersebut sangat debatable, karena para sahabat melakukan sesuatu atas dasar amal. Dan para sahabat mempunyai beberapa golongan; contohnya ada yang serius dengan ilmu sahaja, ada yang menjadi pentadbir/panglima/pekerja setia, ada pula yang merupakan tokoh ilmuan dan dalam masa yang sama seorang aktivis umat pada zamannya. Mereka berjaya membina tamadun disebabkan kefahaman yang mendalam, malah berjaya pula meminjam idea daripada tamadun lain demi pembangunan umat Islam (contohnya Saidina Umar al-Khattab ra).

4) Tapi kenyataan tersebut wajar juga dipandang lebih kritikal karena zaman kita sangat berbeda berbanding dahulu. Kita (umat Islam dan seluruh manusia) sedang berada pada zaman yang pasca moden yang sangat rumit, 'tidak tentu', keliru dan mencabar. Justeru ia mengkehendaki anak-anak muda kumpulan Islam mempunyai beberapa orang dari kalangan mereka yang serius akan hal tersebut; terutama dalam menginteraksikan apa yang wujud dalam khazanah pemikiran Islam dengan cabaran/tantangan semasa yang cukup rumit. Sesungguhnya cabaran pemikiran yang dihadapi kita sangat jauh berbeda berbanding cabaran pemikiran yang dihadapi para sahabat dahulu kala. Lebih-lebih lagi buat kumpulan-kumpulan tersebut yang pastinya bercita-cita tinggi ingin membangun dan mendidik umat dan seluruh manusia, ia wajar mengenal posisi-posisi sosial yang mereka wajai intai, kemudian coba melanjutkan pengajian dan meluaskan pembacaan, karena satu hari nanti mereka akan 'terpaksa' bercakap dan memberikan pandangan yang signifikan dan berlandaskan ilmu. Sesungguhnya ia jauh lebih sukar berbanding sekadar menyanyikan lagu-lagu semangat dalam perjuangan.

5) Semua manusia ada potensi dan kecenderungan yang berbeda, justeru tidaklah semua manusia perlu mempunyai satu jenis kecenderungan fikiran semata-mata. Ada yang mahir multimedia, pengurusan organisasi/kewangan, ada yang hebat dalam tarbiyah harakiyyah dan sebagainya, hingga ada pula kader-kader dakwah yang berpotensi besar dalam bidang sains sosial (sebahagian tentangnya ada yang disebut dalam perbincangan dalam point di atas) seputar dunia sejarah, ketamadunan, pendidikan, sains politik dan sebagainya. Oleh itu semua manusia haruslah berjalan atas kecenderungan masing-masing yang wajib digilap. Tapi malangnya dalam segelintir kumpulan Islam, mereka agak bermasalah dengan kader-kader mereka yang berkecenderungan tinggi dalam sains sosial, hingga kadang-kadang berapa ramai yang 'tercicir' dan tidak dapat pergi jauh dalam dunia harakah lantas mengambil keputusan 'bergerak dari luar'. Maaf kalau ada yang menganggap ini sebagai tuduhan, tapi inilah antara pengalaman peribadi saya; berinteraksi, berkawan dengan beberapa pihak dari kumpulan-kumpulan yang berbeda. Saya nak cakap, itu merupakan satu pembaziran tenaga, sangat membazir dan menjauhkan mereka daripada cita-cita tinggi dan jauh mereka. Sebab itu saya selalu sebut bahawa kalau benar kumpulan-kumpulan Islam mahu pergi jauh, mereka bukan sahaja perlu "berkumpulan" dan "tersusun", tapi mereka mesti menghargai kelompok jenis kedua di atas dan pandai menguruskan sumber manusia.

5) Wallahua'lam, saya akan sambung dalam post akan datang. Tiadalah saya menegur melainkan atas rasa cinta, dan saya insan banyak kelemahan, pastinya sangat layak untuk ditegur dan dididik juga.

Marwan Bukhari Bin A. Hamid

Irbid, Jordan.